Status Palestin dalam Islam
Firman Allah S.W.T. (yang bermaksud) :
"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami." (Al Israa' : 1)
Al-Quds (Baitul Maqdis) merupakan bandar yang ketiga dimuliakan dalam Islam, selepas Makkah al-Mukarramah dan Al-Madinah Al-Munawwarah. Allah S.W.T. telah memuliakannya dengan Al-Masjid Al-Aqsa yang diberkati sekelilingnya. Sebagaimana sabda Nabi S.A.W. (mafhumnya) :
"Janganlah kamu bersusah payah untuk pergi melainkan ke tiga buah Masjid : Al-Masjid Al-Haram, Al-Masjid Al-Aqsa dan Masjidku ini (Al-Masjid An-Nabawi, di Al-Madinah Al-Munawwarah)"
-H.Riw. Imam Al-Bukhari dan Muslim.
Al-Quds adalah sebahagian daripada bumi Palestin, bahkan Allah Tabaaraka wa Ta'ala menyifatkannya sebagai bumi yang diberkati sebanyak lima kali di dalam Al-Quran ( Al Israa' : 1, Al Anbiyaa' : 71, Al A'raaf : 137, Al Anbiyaa' : 81 dan Saba' : 18 ).
Palestin merupakan bumi para Anbiya, demikianlah Al-Quran merakamkan bahawa Nabi Ibrahim, Luth, Ismail, Ishaq, Ya'qub, Yusuf, Daud, Sulaiman, Saleh, Zakaria, Yahya dan 'Isa bin Maryam ('Alaihimus-Sholaatu was-Salaam) pernah menetap di bumi barakah tersebut. Begitu juga Nabi Muhammad S.A.W. pernah menziarahinya bahkan Allah Ta'ala mengurniakan kemuliaan dan penghormatan kepada Baginda S.A.W. dengan peristiwa Al-Israa' dan Al-Mi'raaj. Maka yang demikian itu, bukanlah sesuatu yang aneh atau mengejutkan bagi umat Islam untuk terpaut hati dan jiwa mereka serta bersikap sentimental terhadap bumi suci ini, malah lebih daripada itu untuk mengorbankan darah dan nyawa mereka demi mempertahankannya.
Jerusalem : Perebutan Tiga Penjuru
Umumnya kita mengetahui bahawa bumi Palestin dan kesucian Baitul Maqdis ini dikongsi bersama tiga agama terbesar dunia iaitu Islam, Judaisme dan Kristian. Masing-masing mengakui dan menuntut hak ke atas autoriti memilikinya. Sebagaimana umat Islam mengakui hak mereka ke atas bumi Palestin ini, begitu jugalah kaum yahudi dan nasrani. Ini juga termaktub di dalam kitab-kitab suci mereka. Di dalam kitab Bible, disebutkan bahawa Jesus Christ (Nabi 'Isa A.S.) dilahirkan di Bethlehem yang terletak di selatan Jerusalem. Kaum nasrani juga menuntut Jerusalem sebagai kota suci mereka kerana Jesus dikatakan menuju ke kota ini dalam seruan membawa Bani Israel ke dalam agamanya. Di dalam kitab Bible:
9 The crowds that went ahead of him and that followed were shouting, " Hosanna to the Son of David!
10 When he entered Jerusalem, the whole city was in turmoil, asking, "Who is this?"
11 The crowds were saying, "This is the prophet Jesus from Nazareth in Galilee."
(Matthew 21: 9-11)
27'But as for these enemies of mine who did not want me to be king over them – bring them here and slaughter them in my presence.'
28 After he had said this, he went on ahead, going up to Jerusalem.
(Luke 19 : 27-28)
Cukuplah sejarah telah membuktikan dengan peristiwa Perang Salib yang dilancarkan untuk merampas kembali Jerusalem daripada tangan umat Islam. Kempen Perang Salib yang pertama telah dilancarkan oleh Pope Urban II pada 1046 M, dan Kaum Salib berjaya menguasai Jerusalem pada tahun 1099 M. Di kalangan umat Islam telah bangkit seorang sultan yang adil lagi berani bagi mengembalikan maruah umat yang telah tercalar ini. Sultan Salahuddin al-Ayubi menyeru umat Islam agar bersatu menghadapi kebiadaban tentera-tentera Salib. Setelah berjaya menyatukan kembali umat Islam dari kalangan bangsa Arab, baginda mara dengan kekuatan kesatuan aqidah Islam.
Satu demi satu pertempuran diharungi oleh tentera Islam di akhiri dengan kemenangan. Perkembangan ini menyebabkan Raja Richard I yang digelar The Lion Heart itu datang sendiri bagi mengetuai peperangan ini. Tahun 1187 M menyaksikan peristiwa bersejarah di mana Kaum Salib telah dikalahkan di Hittin (Palestin), Al-Quds (Jerusalem) dan Syria telah dibebaskan. Maka Baitul Maqdis dan bumi Palestin kembali di bawah kekuasaan umat Islam. Setelah kemangkatan Sultan Salahuddin (1193 M/ 589 H), Kaum Salib sekali lagi dapat menguasai Jerusalem buat kali yang kedua. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1229 M/ 626 H, bagaimanapun tentera Islam berjaya merampasnya semula pada tahun 1244 M/ 642 H. Kaum Salib melakukan cubaan terakhirnya pada tahun 1249 M / 647 H melalui Raja Louis IX namun usaha ini menemui kegagalan.Manakala bagi kaum yahudi, sebagaimana yang telah disebut di atas, mereka telah ter1epas hak ke atas Palestin sejak tahun ke 35 Masihi sehinggalah abad ke-20.
Mereka telah memasuki bumi suci Palestin pada tahun 1948, lalu menubuhkan sebuah negara. Penubuhan negara Israel ini tidak diiktiraf oleh majoriti umat Islam, sehingga kini mereka menduduki serta membina penempatan secara haram.
Al-Quran Mengisytiharkan PenentuanNya terhadap bumi Palestin
Sebelum kita pergi lebih jauh tentang tragedi pencerobohan kaum Yahudi ke atas bumi Palestin, adalah lebih baik kita meneliti terlebih dahulu beberapa ayat dari Al-Quran yang mendedahkan tentang sikap Bani Israel terhadap perintah Allah S.W.T dan Nabi Musa A.S. Firman Allah S.W.T (yang bermaksud) :
"Dan (ingatlah), ketika Musa berkata kepada kaumnya: "Hai kaumku, ingatlah ni'mat Allah atasmu ketika Dia mengangkat nabi-nabi di antaramu, dan dijadikanNya kamu orang-orang yang merdeka.." (Al-Maaidah : 20)
Setelah Nabi Musa A.S. menyelamatkan Bani Israel dari cengkaman penghambaan Fir'aun di bumi Mesir, Allah S.W.T. menjanjikan negeri untuk diwarisi oleh mereka. Firman Allah S.W.T (yang bermaksud) :
"Dan Kami wariskan kepada kaum yang telah ditindas itu, negeri-negeri bahagian timur bumi dan bahagian baratnya* yang telah Kami beri berkah padanya."(Al-A'raaf : 137)
(*Yang dimaksudkan di sini : negeri Syam dan Mesir serta negeri-negeri sekitar keduanya yang pernah dikuasai oleh Fir'aun dahulu). Lalu mereka telah menyeberangi Laut Merah lalu memasuki Sinai, Nabi Musa A.S. telah menyeru dan memerintahkan mereka sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran (yang bermaksud) :
"Wahai kaumku, masuklah ke tanah suci (Palestin) yang telah ditentukan Allah bagimu, dan janganlah kamu lari ke belakang (kerana takut kepada musuh), maka kamu menjadi orang-orang yang merugi."
(Al-Maaidah : 21)
Mereka yang telah Allah janjikan bumi barakah itu, telah menjawab sebaliknya sebagaimana dirakamkan di dalam Al-Quran:
"Mereka berkata: "Hai Musa , sesungguhnya dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa, sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka keluar daripadanya."
(Al-Maaidah : 22)"
Firman Allah lagi:
"Mereka berkata: "Hai Musa, kami sekali-kali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka ada di dalamnya, kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua.." (Al-Maaidah : 24)
(Kisah ini juga turut dinukilkan di dalam kitab Bible di dalam Perjanjian Lama / The Old Testament –The book of Numbers Ch.13: Vr. 31-33).
Secara jelasnya, bolehlah dikatakan Bani Israel ini telah menolak untuk memasuki tanah Palestin secara berhadapan dengan penghuni negeri tersebut. Sikap ini telah mengecewakan Nabi Musa A.S. serta menimbulkan kemurkaan Allah S.W.T. Al-Quran menerangkan (yang bermaksud) :
"Berkata Musa : "Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang fasik itu. Allah berfirman: "(Jika demikian), maka sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi itu. Maka janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasik itu." (Al-Maaidah : 25-26)
Palestin Sebelum Berada di Bawah Naungan Islam
Nabi Musa A.S. telah wafat sebelum sempat menyempurnakan impian membawa bangsanya memasuki bumi suci Palestin. Setelah berlegar legar selama 40 tahun di gurun Sinai, generasi Bani Israel yang berani dan berdedikasi telah terbentuk, dan di bawah pimpinan Usha' bin Nun mereka mara untuk menyeberangi Sungai Jordan ke Timur Laut Palestin kira-kira tahun 1190 sebelum masihi. Kemudian, kekacauan, perselisihan dan krisis moral melanda Bani Israel, dan ia berterusan selama 150 tahun. Dengan naiknya Raja Talut, kondisi mereka berubah kepada keadaaan yang lebih baik, dan mereka mampu mengalahkan musuh-musuh mereka.
Kebangkitan Nabi Daud A.S., yang mana Allah S.W.T menganugerahkannya kerajaan kira-kira 1004 sebelum masihi, telah mengisyaratkan era baru kepada cahaya Tauhid di bumi barakah tersebut. Baginda menghapuskan golongan yang kufur, menguasai dan memerintah bumi Palestin kecuali di kawasan pinggir laut, dan menjadikan Jerusalem sebagai ibukota pemerintahannya pada tahun 995 sebelum masihi. Anak dan juga pewaris baginda Nabi Sulaiman A.S. meneruskan pemerintahan yang penuh bersejarah ini. Lapan puluh tahun pemerintahan baginda berdua 'Alaihimas-Salaam merupakan era kegemilangan kepada panji-panji Tauhid di Palestin. Setelah kemangkatan Nabi Sulaiman A.S., kerajaan baginda telah terbahagi kepada dua negeri yang bermusuhan. Setelah itu pemerintahan negara Bani Israel mengalami kemerosotan dan korup. Mereka telah diserang oleh negara-negara jiran seperti Raja Sargon II (Assyrian), kemudian Nebukadnezar (Babilon) yang memusnahkan rumah ibadat mereka dan memperhambakan 40,000 bangsa yahudi. Kemudian bumi tersebut dikuasai oleh kerajaan Rom. Ini tercatat di dalam manuskrip mereka sendiri.
Sejarah juga mencatatkan kerajaan Islam di bawah pimpinan Saiyidina Umar bin Al-Khattab R.A. telah membuka kota Baitul Maqdis pada tahun ke-15 Hijrah bersamaan 636 masihi. Demikianlah Allah telah menyempurnakan janjiNya sebagaimana yang difirmankan di dalam Kitab AgungNya (yang bermaksud) :
"Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa derajat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikanNya kepadamu."
(Al-An'aam : 165)
Dengan kemasukan dan penodaan golongan Yahudi ke atas bumi Palestin dengan tertubuhnya negara haram 'Israel' pada tahun 1948, maka umat Islam telah mengalami episod penghinaan yang berdarah selama hampir 60 tahun. Akan tertebuskah kembali maruah Islam? Masih adakah lagi Sultan Salahuddin baru di alaf ini?
Rujukan
1.Al-Quran Al-Karim.
2.Al-Lu' Lu' wal-Warjaan, Imaamal-Muhadditsiin Al-Bukhari wa Muslim. – Muhammad Fuad Abdul Baqi, Darul-Hadith, al-Kaherah.
3.Al-Quds Qadhiyah Kulli Muslim –Dr. Yusuf Al-Qardhawi, Maktabah Wahbah, al-Kaherah, 2000.
4.The Palestinian Issue, Its Background and Development Up To 2000 - Dr. Mohsen M. Saleh, Darul-Fajar.Translated by, Prof. Hassan A.Ibrahim, 2001.
5.Jerusalem In The Qur'an, An Islamic View of The Destiny of Jerusalem –Imran N. Hosein, Ansari Memorial Series, Masjid Dar al-Quran, Long Island, New York, 2002.
6.Jurnal Liwa' Ul-Haq, bil-2, Februari-April 2001.
7.The Holy Bible, New Revised Standard Version –Zondervan Publishing House, Grand Rapids, Michigan, 1989.