0

Palestin Dalam Agama Samawi

Status Palestin dalam Islam
Firman Allah S.W.T. (yang bermaksud) :
"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami." (Al Israa' : 1)
Al-Quds (Baitul Maqdis) merupakan bandar yang ketiga dimuliakan dalam Islam, selepas Makkah al-Mukarramah dan Al-Madinah Al-Munawwarah. Allah S.W.T. telah memuliakannya dengan Al-Masjid Al-Aqsa yang diberkati sekelilingnya. Sebagaimana sabda Nabi S.A.W. (mafhumnya) :
"Janganlah kamu bersusah payah untuk pergi melainkan ke tiga buah Masjid : Al-Masjid Al-Haram, Al-Masjid Al-Aqsa dan Masjidku ini (Al-Masjid An-Nabawi, di Al-Madinah Al-Munawwarah)"
-H.Riw. Imam Al-Bukhari dan Muslim.
Al-Quds adalah sebahagian daripada bumi Palestin, bahkan Allah Tabaaraka wa Ta'ala menyifatkannya sebagai bumi yang diberkati sebanyak lima kali di dalam Al-Quran ( Al Israa' : 1, Al Anbiyaa' : 71, Al A'raaf : 137, Al Anbiyaa' : 81 dan Saba' : 18 ).
Palestin merupakan bumi para Anbiya, demikianlah Al-Quran merakamkan bahawa Nabi Ibrahim, Luth, Ismail, Ishaq, Ya'qub, Yusuf, Daud, Sulaiman, Saleh, Zakaria, Yahya dan 'Isa bin Maryam ('Alaihimus-Sholaatu was-Salaam) pernah menetap di bumi barakah tersebut. Begitu juga Nabi Muhammad S.A.W. pernah menziarahinya bahkan Allah Ta'ala mengurniakan kemuliaan dan penghormatan kepada Baginda S.A.W. dengan peristiwa Al-Israa' dan Al-Mi'raaj. Maka yang demikian itu, bukanlah sesuatu yang aneh atau mengejutkan bagi umat Islam untuk terpaut hati dan jiwa mereka serta bersikap sentimental terhadap bumi suci ini, malah lebih daripada itu untuk mengorbankan darah dan nyawa mereka demi mempertahankannya.
Jerusalem : Perebutan Tiga Penjuru
Umumnya kita mengetahui bahawa bumi Palestin dan kesucian Baitul Maqdis ini dikongsi bersama tiga agama terbesar dunia iaitu Islam, Judaisme dan Kristian. Masing-masing mengakui dan menuntut hak ke atas autoriti memilikinya. Sebagaimana umat Islam mengakui hak mereka ke atas bumi Palestin ini, begitu jugalah kaum yahudi dan nasrani. Ini juga termaktub di dalam kitab-kitab suci mereka. Di dalam kitab Bible, disebutkan bahawa Jesus Christ (Nabi 'Isa A.S.) dilahirkan di Bethlehem yang terletak di selatan Jerusalem. Kaum nasrani juga menuntut Jerusalem sebagai kota suci mereka kerana Jesus dikatakan menuju ke kota ini dalam seruan membawa Bani Israel ke dalam agamanya. Di dalam kitab Bible:
9 The crowds that went ahead of him and that followed were shouting, " Hosanna to the Son of David!
10 When he entered Jerusalem, the whole city was in turmoil, asking, "Who is this?"
11 The crowds were saying, "This is the prophet Jesus from Nazareth in Galilee."
(Matthew 21: 9-11)
27'But as for these enemies of mine who did not want me to be king over them – bring them here and slaughter them in my presence.'
28 After he had said this, he went on ahead, going up to Jerusalem.
(Luke 19 : 27-28)
Cukuplah sejarah telah membuktikan dengan peristiwa Perang Salib yang dilancarkan untuk merampas kembali Jerusalem daripada tangan umat Islam. Kempen Perang Salib yang pertama telah dilancarkan oleh Pope Urban II pada 1046 M, dan Kaum Salib berjaya menguasai Jerusalem pada tahun 1099 M. Di kalangan umat Islam telah bangkit seorang sultan yang adil lagi berani bagi mengembalikan maruah umat yang telah tercalar ini. Sultan Salahuddin al-Ayubi menyeru umat Islam agar bersatu menghadapi kebiadaban tentera-tentera Salib. Setelah berjaya menyatukan kembali umat Islam dari kalangan bangsa Arab, baginda mara dengan kekuatan kesatuan aqidah Islam.
Satu demi satu pertempuran diharungi oleh tentera Islam di akhiri dengan kemenangan. Perkembangan ini menyebabkan Raja Richard I yang digelar The Lion Heart itu datang sendiri bagi mengetuai peperangan ini. Tahun 1187 M menyaksikan peristiwa bersejarah di mana Kaum Salib telah dikalahkan di Hittin (Palestin), Al-Quds (Jerusalem) dan Syria telah dibebaskan. Maka Baitul Maqdis dan bumi Palestin kembali di bawah kekuasaan umat Islam. Setelah kemangkatan Sultan Salahuddin (1193 M/ 589 H), Kaum Salib sekali lagi dapat menguasai Jerusalem buat kali yang kedua. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1229 M/ 626 H, bagaimanapun tentera Islam berjaya merampasnya semula pada tahun 1244 M/ 642 H. Kaum Salib melakukan cubaan terakhirnya pada tahun 1249 M / 647 H melalui Raja Louis IX namun usaha ini menemui kegagalan.Manakala bagi kaum yahudi, sebagaimana yang telah disebut di atas, mereka telah ter1epas hak ke atas Palestin sejak tahun ke 35 Masihi sehinggalah abad ke-20.
Mereka telah memasuki bumi suci Palestin pada tahun 1948, lalu menubuhkan sebuah negara. Penubuhan negara Israel ini tidak diiktiraf oleh majoriti umat Islam, sehingga kini mereka menduduki serta membina penempatan secara haram.
Al-Quran Mengisytiharkan PenentuanNya terhadap bumi Palestin
Sebelum kita pergi lebih jauh tentang tragedi pencerobohan kaum Yahudi ke atas bumi Palestin, adalah lebih baik kita meneliti terlebih dahulu beberapa ayat dari Al-Quran yang mendedahkan tentang sikap Bani Israel terhadap perintah Allah S.W.T dan Nabi Musa A.S. Firman Allah S.W.T (yang bermaksud) :
"Dan (ingatlah), ketika Musa berkata kepada kaumnya: "Hai kaumku, ingatlah ni'mat Allah atasmu ketika Dia mengangkat nabi-nabi di antaramu, dan dijadikanNya kamu orang-orang yang merdeka.." (Al-Maaidah : 20)
Setelah Nabi Musa A.S. menyelamatkan Bani Israel dari cengkaman penghambaan Fir'aun di bumi Mesir, Allah S.W.T. menjanjikan negeri untuk diwarisi oleh mereka. Firman Allah S.W.T (yang bermaksud) :
"Dan Kami wariskan kepada kaum yang telah ditindas itu, negeri-negeri bahagian timur bumi dan bahagian baratnya* yang telah Kami beri berkah padanya."(Al-A'raaf : 137)
(*Yang dimaksudkan di sini : negeri Syam dan Mesir serta negeri-negeri sekitar keduanya yang pernah dikuasai oleh Fir'aun dahulu). Lalu mereka telah menyeberangi Laut Merah lalu memasuki Sinai, Nabi Musa A.S. telah menyeru dan memerintahkan mereka sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran (yang bermaksud) :
"Wahai kaumku, masuklah ke tanah suci (Palestin) yang telah ditentukan Allah bagimu, dan janganlah kamu lari ke belakang (kerana takut kepada musuh), maka kamu menjadi orang-orang yang merugi."
(Al-Maaidah : 21)
Mereka yang telah Allah janjikan bumi barakah itu, telah menjawab sebaliknya sebagaimana dirakamkan di dalam Al-Quran:
"Mereka berkata: "Hai Musa , sesungguhnya dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa, sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka keluar daripadanya."
(Al-Maaidah : 22)"
Firman Allah lagi:
"Mereka berkata: "Hai Musa, kami sekali-kali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka ada di dalamnya, kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua.." (Al-Maaidah : 24)
(Kisah ini juga turut dinukilkan di dalam kitab Bible di dalam Perjanjian Lama / The Old Testament –The book of Numbers Ch.13: Vr. 31-33).
Secara jelasnya, bolehlah dikatakan Bani Israel ini telah menolak untuk memasuki tanah Palestin secara berhadapan dengan penghuni negeri tersebut. Sikap ini telah mengecewakan Nabi Musa A.S. serta menimbulkan kemurkaan Allah S.W.T. Al-Quran menerangkan (yang bermaksud) :
"Berkata Musa : "Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang fasik itu. Allah berfirman: "(Jika demikian), maka sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi itu. Maka janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasik itu." (Al-Maaidah : 25-26)
Palestin Sebelum Berada di Bawah Naungan Islam
Nabi Musa A.S. telah wafat sebelum sempat menyempurnakan impian membawa bangsanya memasuki bumi suci Palestin. Setelah berlegar legar selama 40 tahun di gurun Sinai, generasi Bani Israel yang berani dan berdedikasi telah terbentuk, dan di bawah pimpinan Usha' bin Nun mereka mara untuk menyeberangi Sungai Jordan ke Timur Laut Palestin kira-kira tahun 1190 sebelum masihi. Kemudian, kekacauan, perselisihan dan krisis moral melanda Bani Israel, dan ia berterusan selama 150 tahun. Dengan naiknya Raja Talut, kondisi mereka berubah kepada keadaaan yang lebih baik, dan mereka mampu mengalahkan musuh-musuh mereka.
Kebangkitan Nabi Daud A.S., yang mana Allah S.W.T menganugerahkannya kerajaan kira-kira 1004 sebelum masihi, telah mengisyaratkan era baru kepada cahaya Tauhid di bumi barakah tersebut. Baginda menghapuskan golongan yang kufur, menguasai dan memerintah bumi Palestin kecuali di kawasan pinggir laut, dan menjadikan Jerusalem sebagai ibukota pemerintahannya pada tahun 995 sebelum masihi. Anak dan juga pewaris baginda Nabi Sulaiman A.S. meneruskan pemerintahan yang penuh bersejarah ini. Lapan puluh tahun pemerintahan baginda berdua 'Alaihimas-Salaam merupakan era kegemilangan kepada panji-panji Tauhid di Palestin. Setelah kemangkatan Nabi Sulaiman A.S., kerajaan baginda telah terbahagi kepada dua negeri yang bermusuhan. Setelah itu pemerintahan negara Bani Israel mengalami kemerosotan dan korup. Mereka telah diserang oleh negara-negara jiran seperti Raja Sargon II (Assyrian), kemudian Nebukadnezar (Babilon) yang memusnahkan rumah ibadat mereka dan memperhambakan 40,000 bangsa yahudi. Kemudian bumi tersebut dikuasai oleh kerajaan Rom. Ini tercatat di dalam manuskrip mereka sendiri.
Sejarah juga mencatatkan kerajaan Islam di bawah pimpinan Saiyidina Umar bin Al-Khattab R.A. telah membuka kota Baitul Maqdis pada tahun ke-15 Hijrah bersamaan 636 masihi. Demikianlah Allah telah menyempurnakan janjiNya sebagaimana yang difirmankan di dalam Kitab AgungNya (yang bermaksud) :
"Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa derajat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikanNya kepadamu."
(Al-An'aam : 165)
Dengan kemasukan dan penodaan golongan Yahudi ke atas bumi Palestin dengan tertubuhnya negara haram 'Israel' pada tahun 1948, maka umat Islam telah mengalami episod penghinaan yang berdarah selama hampir 60 tahun. Akan tertebuskah kembali maruah Islam? Masih adakah lagi Sultan Salahuddin baru di alaf ini?
Rujukan
1.Al-Quran Al-Karim.
2.Al-Lu' Lu' wal-Warjaan, Imaamal-Muhadditsiin Al-Bukhari wa Muslim. – Muhammad Fuad Abdul Baqi, Darul-Hadith, al-Kaherah.
3.Al-Quds Qadhiyah Kulli Muslim –Dr. Yusuf Al-Qardhawi, Maktabah Wahbah, al-Kaherah, 2000.
4.The Palestinian Issue, Its Background and Development Up To 2000 - Dr. Mohsen M. Saleh, Darul-Fajar.Translated by, Prof. Hassan A.Ibrahim, 2001.
5.Jerusalem In The Qur'an, An Islamic View of The Destiny of Jerusalem –Imran N. Hosein, Ansari Memorial Series, Masjid Dar al-Quran, Long Island, New York, 2002.
6.Jurnal Liwa' Ul-Haq, bil-2, Februari-April 2001.
7.The Holy Bible, New Revised Standard Version –Zondervan Publishing House, Grand Rapids, Michigan, 1989.

0

Zionis dan Kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah

Firman Allah S.W.T. (yang bermaksud):
Orang-orang yahudi dan nasrani tidak akan sekali-kali redha kepada kamu sehingga kamu mengikut agama mereka.” (Al-Baqarah : 120)
FirmanNya lagi:
“Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang yahudi dan orang-orang musyrik.” ( Al-Maaidah : 82).
PERMUSUHAN YAHUDI-ISLAM: SEJARAH YANG PANJANG
Pertembungan dan pertentangan di antara umat Islam dengan golongan yahudi sudah berakar umbi semenjak zaman berzaman, sejak kebangkitan Nabi Terakhir s.a.w. yang zahir bukan dari kalangan mereka. Kebencian yang meluap-luap ini terbukti dengan percubaan demi percubaan untuk menghancurkan umat yang memikul ajaran Tauhid ini. Allah ‘Azza wa Jalla memuliakan umat ini dengan nikmat Islam dan kemenangan terhadap golongan yahudi serta menyelubungkan kehinaan ke atas mereka dengan Peristiwa Khaibar (tahun ke-7 Hijrah) setelah mereka mengkhianati perjanjian dengan Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW.
Umat Islam meyakini bahawa Bani Israel telah memerintah sebahagian bumi Palestin selama lebih kurang 400 tahun, bagaimana pun mereka telah mengubah serta menokok tambah agama mereka dan mendustakan serta membunuh para nabi yang diutuskan kepada mereka. Maka, layaklah ke atas mereka ditimpakan penghinaan dan hukuman daripada Allah Ta'ala, serta hilang hak mereka terhadap bumi Palestin. Golongan yahudi, secara realiti, politik dan ketamadunannya telah terputus terus dari keberkatan bumi Baitul Maqdis selama 1800 tahun (Semenjak 135 Masihi sehinggalah abad ke-20).
Dengan tertubuhnya Pertubuhan Zionis Sedunia (World Zionist Organization -W.Z.O.) di bawah pimpinan Theodore Herzl, dan konferensi pertama yang telah diadakan di Switzerland pada 27-29 hb. Ogos 1897, di antara lain merintis jalan dan kempen politik secara sistematik untuk menubuhkan negara yahudi "Israel" di bumi suci Palestin. Herzl berada di barisan hadapan dalam usaha diplomatik aktif bagi memenangi sokongan kuasa-kuasa dunia terhadap tuntutan kaum yahudi tersebut, termasuklah memujuk Britain untuk menaungi "Projek Zionis". Harga lumayan yang ditawarkan kepada Sultan Abdul Hamid, Khalifah Uthmaniyyah(1876-1909) supaya baginda menjual bumi Palestin telah ditolak mentah-mentah kerana khalifah dapat menghidu tujuan sebenar mereka. Tanah yang diimpikan supaya mereka dapat mendirikan negara yahudi yang kononnya akan berada di bawah pemerintahan Uthmaniyyah menghadapi tentangan terus menerus dari khalifah, sungguhpun jumlah tawaran tersebut begitu besar untuk ditolak. Sultan Abdul Hamid telah mengungkapkan kata-kata bersejarah yang ditujukan kepada Herzl melalui utusan yang dihantar untuk perundingan tersebut :
"Saya menganjurkan supaya dia(Hezrl) tidak meneruskan perkara ini (usaha mendapatkan tanah Palestin). Saya tidak dapat menjualkan walaupun satu kaki persegi daripada tanah ini kerana ianya bukan milik saya, tetapi milik rakyat saya. Rakyat saya telah membentuk serta mengekalkan Empayar ini dengan pengorbanan dan darah, dan kami akan mempertahankannya dengan darah kami sebelum menyerahkannya kepada sesiapapun. Biarlah yahudi-yahudi itu menyimpan sahaja wang mereka yang berbilion-bilion itu. Jika sekiranya Empayar ini berpecah, maka mereka boleh mengambil Palestin secara percuma. Tetapi mestilah dilangkah mayat kami dahulu, dan saya tidak akan membenarkan ianya berlaku atas sebab apapun.."
Menghapuskan Khilafah Uthmaniyyah
Akhirnya pada tahun 1908, gerakan Committee of Union and Progress (CUP) yang didalangi oleh yahudi zionis telah melakukan pemberontakan "Revolusi Turki Muda" menentang khalifah. Di antara pemimpinnya ialah Emanuel Carasso, seorang yahudi berbangsa Itali. Hasil daripada revolusi ini, sebuah perlembagaan telah diisytiharkan di Salonika, khalifah telah dipaksa supaya meluluskan dan melantik para menteri yang dipilih oleh gerombolan Turki Muda. Pada 17 November tahun yang sama, pembukaan Parlimen Uthmaniyyah telah dilancarkan sementara khalifah hanya mampu akur serta berazam untuk mengembalikan syariat Islam. Pada 13hb. April 1909 telah berlaku satu revolusi dari kalangan tentera dan rakyat Turki yang tidak bersetuju dengan kepimpinan baru, semangat menentang perlembagaan begitu menyala-nyala. Dua hari setelah itu, khalifah telah melantik Taufiq Pasha sebagai Wazir Besar bagi tugas-tugas khas demi mengembalikan semula pelaksanaan hukum Islam serta menghapuskan perlembagaan baru. Dengan perkembangan ini, golongan tentera di Salonika telah melakukan satu lagi pemberontakan malah lebih buruk lagi mereka telah melakukan rampasan kuasa.
Pada 26hb. April 1909, telah diadakan Jawatankuasa Kebangsaan yang bertindak memecat Sultan Abdul Hamid daripada jawatan khalifah dan sistem perlembagaan dilaksanakan semula. Dengan ini sistem pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah telah berkubur dan digantikan dengan sistem perlembagaan dan parlimen ala barat. Jawatan khalifah hanyalah satu gelaran kepada seorang ketua negara. Muhammad Rashad iaitu adik kepada Sultan Abdul Hamid telah menaiki takhta khalifah. Perang Dunia Pertama telah meletus pada tahun 1914, dan Khilafah Uthmaniyah telah terbabit dalam Perang Dunia ini. Pihak British telah menyusup masuk ke dalam pengaruh ketenteraan Turki dan menaburkan pandangan-pandangan demi kepentingan British. Usaha yang dijalankan ialah supaya kerajaan Uthmaniyyah menarik diri dari pembabitannya dalam peperangan ini dan terus menyuburkan usaha penghapusan Khilafah Uthmaniyyah secara mutlak. Pada 9hb.November 1915, Setiausaha Perang pihak British, Lord Kitchener telah menghubungi seorang pegawai tentera Turki iaitu Jamal Pasha di Dardanelles untuk diajak berunding menentang Khilafah Uthmaniyyah. Beliau bersetuju untuk melakukan pemberontakan dengan beberapa syarat untuk dipenuhi oleh pihak Tentera Bersekutu.
Pada 30hb. Oktober 1918, Khilafah Uthmaniyyah telah bersetuju dengan gencatan senjata Mudrog, bagi menamatkan peperangan di Asia Barat Daya. Setelah Perang Dunia Pertama tamat, pihak Tentera Bersekutu memperolehi kemenangan besar, begitu juga Khilafah Uthmaniyyah telah berpecah dan berkecai-kecai kepada negara-negara kecil. Seluruh wilayah Arab, Mesir, Syria, Palestin dan kawasan Timur Jordan telah dikuasai oleh pihak Bersekutu manakala Iraq melepaskan diri dari kesatuan khilafah secara paksaan. Yang tinggal pada kekuasaan Uthmaniyyah hanyalah negara Turki itu sendiri, sedangkan ianya juga telah diresapi pengaruh pihak Bersekutu. Pemerintahan yang sedang nazak ini telah dibentuk semula di bawah kepimpinan Taufiq Pasha, kali ini beliau berperanan menjalankan perintah bagi pihak musuh yang berkuasa. Ketika itu jawatan khalifah disandang oleh Wahiduddin Khan yang merasakan dirinya terpikul dengan tanggungjawab terhadap keselamatan negara dan tidak mahu menunjukkan sikap menentang yang mana boleh mengakibatkan kehancuran negara. Gerakan Nasionalisme yang dipimpin oleh Mustafa Kamal Pasha berjaya mendapat tempat dengan Parti Kebangsaan yang dibentuknya. Beliau bercita-cita untuk menggantikan Khilafah dengan Republik Turki, walaupun sebenarnya khalifah sudah tidak lagi berperanan dalam kekuasaan negara, namun segala ciri-ciri Islam yang masih tersisa itu hendak dicabutnya terus.
Revolusi yang digerakkan oleh beliau dilihat sebagai memenuhi kepentingan British, sungguhpun beliau cuba membalutinya dengan rupa nasionalisme. British adalah dalang yang menyiapkan segalanya bagi menjayakan revolusi ini, bahkan beliau sendiri telah dididik oleh pihak British. Dengan pengaruhnya, Kamal berjaya menduduki tempat di dalam Jawatankuasa Kebangsaan, usul-usul yang dibawanya ke dalam dewan tersebut mencetuskan kontroversi dan kekecohan, dengan sokongan 80 orang ahli dewan yang merupakan penyokong setianya, beliau meneruskan niat jahatnya bagi menghancurkan kesultanan dan khilafah secara total. Keadaan dewan menjadi kacau dengan tindakan saling mengecam dan tuduh menuduh di antara ahli dewan dan ahli politik yang terdiri dari pengikut Mustafa Kamal, golongan ulama dan intelektual. Natijahnya, Jawatankuasa Perwakilan Kebangsaan telah memutuskan bahawa Kesultanan dihapuskan. Apabila mengetahui tentang itu, Khalifah Wahiduddin telah melarikan diri. Jawatan khalifah telah diisi oleh saudaranya Abdul Majid, beliau dilantik sebagai khalifah tanpa kuasa pemerintahan.Kelicikan Mustafa Kamal memang diakui apabila dia berjaya mengheret Jawatankuasa ke dalam pelbagai krisis pertumpahan darah sehingga ianya dijadikan alasan yang kuat untuk membubarkan parlimen. Ketika krisis tersebut sudah memuncak, Kamal telah diminta oleh Jawatankuasa Kebangsaan untuk menerajui parlimen. Kesempatan yang sudah lama ditunggu-tunggu, pada 29hb. Oktober 1923, Mustafa Kamal telah dipilih menjadi Presiden Republik Turki yang pertama setelah beliau mengisytiharkan di dewan untuk mengubah Negara Islam menjadi Negara Republik. Sebarang tentangan daripada rakyat yang pro-Islam telah ditangani dengan propaganda dan kanun yang bersifat subversif. Manakala ahli dewan yang lantang melaungkan suara Islam telah diancam dengan hukuman gantung malahan ada yang dibunuh pada waktu malam melalui pembunuh upahan.
Mustafa Kamal semakin berani dalam langkah yang diambilnya, pada 3hb. Mac 1924, beliau telah mengadakan persidangan Jawatankuasa Kebangsaan bagi mengumumkan penghapusan Khilafah dan memisahkan Islam dari negara. Dengan keangkuhannya gaya seorang diktator, keputusan dibuat tanpa melalui perbincangan. Arahan telah dikeluarkan kepada Hakim Istanbul supaya menetapkan pengusiran Khalifah Abdul Majid. Sehari selepas keputusan ini dikeluarkan, khalifah diarah keluar meninggalkan Turki sebelum terbit fajar. Sejumlah angkatan polis mengiringi Hakim Istanbul ke istana khalifah lalu memaksa baginda menaiki kereta yang kemudian membawanya keluar ke sempadan Turki. Mereka dengan tanpa belas kasihan telah meninggalkan baginda yang hanya dibenarkan membawa satu beg yang berisi beberapa pakaian dan sedikit wang. Demikianlah penghinaan yang diterima oleh Sultan Abdul Majid akibat kebencian musuh-musuh Islam terhadap institusi Khilafah yang telah sedia ranap. Mustafa Kamal telah digelar "Attartuk"- Bapa Pemodenan Turki.
Dia menjadikan sistem Kapitalisme mendominasi negara Republik tersebut. Maka telah tercapailah impian orang-orang kafir untuk menghancurkan Islam dari dalam, secara halus dan keji. Demikianlah berakhirnya satu Empayar yang kira-kira 27 tahun sebelum itu telah menolak untuk menjualkan tanah Palestin kepada golongan yahudi. Satu tempoh yang singkat untuk satu projek yang besar.
Rujukan
1.Al-Quran Al-Karim.
2.Kayfa Hudimat al-Khilafah – Abdul Qadim Zallum, Darul-Ummah,Beirut, 1990.
3.The Palestinian Issue, Its Background and Development Up To 2000 - Dr. Mohsen M. Saleh, Darul-Fajar.Translated by, Prof. Hassan A.Ibrahim, 2001.
4.Jewish Conspiracy And The Muslim World – Misbahul Islam Faruqi, With Complete Text of The Protocols of The Learned Elders of Zion, Thinker's Library, 1991.
5.Jurnal Liwa' Ul-Haq, bil-2, Februari-April 2001.

0

FAHAMAN SAINS DARI BARAT DAN ISLAM




  1. Barat : Mengimani rasionalisme


    Islam : Mengimani wahyu




  1. Barat : Sains untuk sains


    Islam : Sains hanyalah sebagai alat untuk mencari keredaan Allah; satu bentuk pengabdian yang ada fungsi rohani dan sosialnya.




  1. Barat : Hanya terdapat satu kaedah untuk mengetahui kebenaran.(empirikal)


    Islam : Terdapat banyak kaedah yang berasaskan kepada penaakulan dan juga wahyu baik objektif ataupun subjektif. Semuanya sah.




  1. Barat : Sikap bebas emosi sebagai kunci mencapai kerasionalan.


    Islam : Emosi perlu untuk meningkatkan pengetahuan sains dari segi rohani dan sosial.




  1. Barat : Tidak memihak (neutral) seorang ahli sains seharusnya meminati ciptaan ilmu baru dan natijah penggunaannya. .


    Islam : Memihak kepada kebenaran; jika sains suatu bentuk pengabdian, ahli sains mesti mengambil kira akibat-akibat yang timbul daripada penemuan-penemuannya. Ibadat ialah amalan dan natijahnya mestilah sesuatu yang baik. Jika tidak, ahli sains hanyalah agen yang tidak bermoral.




  1. Barat : Ketiadaan sikap berat sebelah. Pengesahan pernyataan sains hanya bergantung pada operasi-operasi pembuktiannya, dan tidak pada orang yang membuatnya.


    Islam : Adanya subjektiviti; arah sains adalah subjektif. Pengesahan pernyataan bergantung kepada operasi pembuktian niat dan juga pandangan hidup sendiri. Pengakuan adanya subjektiviti memaksa ahli-ahli sains mengaku kelemahan-kelemahan mereka.




  1. Barat : Menangguhkan pemutusan – Kenyataan sains dibuat hanya berdasarkan asas bukti yang meyakinkan.


    Islam : Latihan pemutusan – kenyataan sains selalu dibuat dengan bukti yang tidak meyakinkan; ahli sains seharusnya boleh membuat keputusan bila berhadapan dengan bukti yang tidak meyakinkan; apabila sampai masa yang bukti meyakinkan telah dikumpulkan, mungkin terlalu lewat untuk melakukan sesuatu tentang akibat-akibat yang telah merosakkan itu.




  1. Barat : Penurunan cara yang dominan untuk mencapai kemajuan sains.


    Islam : Sintesis sebagai cara dominan untuk mencapai kemajuan sains. Ini meliputi sintesis sains dan sistem nilai.




  1. Barat : Pemecahan – Sains sebagai aktiviti yang kompleks. Oleh itu dapat dipecah-pecahkan kepada disiplin-disiplin, sub-disiplin dan sub-sub disiplin.


    Islam : Holistik – Aktiviti sains terlalu kompleks untuk diceraikan dan diasingkan kepada bahagian yang kecil. Sains adalah interdisiplin, Intradisiplin dan holistik.




  1. Barat : Global – walaupun sains bersifat sejagat, hasilnya ialah untuk orang yang mampu membayar. Dengan itu rahsia dibolehkan.


    Islam : Global – hasil kajian sains untuk seluruh manusia. Pengetahuan serta kebijaksanaan tidak dapat dijadikan sebagai barang pertukaran atau jual beli, merahsiakannya dianggap buruk dan tidak bermoral.




  1. Barat : Individualisme – Ahli sains seharusnya memisahkan diri mereka daripada keprihatinan mereka tentang sosial, politik dan ideologi.


    Islam : Orientasi masyarakat: melakukan sains adalah tanggungjawab sosial (fardu kifayah), kedua-dua ahli sains dan masyarakat mempunyai tanggungjawab antara satu sama lain dan saling bergantung.




  1. Barat : Sains tidak baik tetapi tidak juga buruk (neutral)


    Islam : Orientasi nilai sains seperti kebanyakan aktiviti manusia, mempunyai nilai, ia mungkin baik ataupun patut dipuji, sains perang saraf umpamanya adalah satu yang keji.




  1. Barat : Setia bersama kumpulan: hasil pengetahuan baru daripada kajian adalah yang terpenting daripada aktiviti-aktiviti lain dan patut diberikan sokongan penuh.


    Islam : Kesetiaan hanya kepada Tuhan dan makhluknya – pengetahuan sains yang baru adalah satu jalan memahami “tanda-tanda” kewujudan Tuhan dan seterusnya meningkatkan taraf ciptaan-ciptaannya – manusia, binatang dan sekitaran. Tuhanlah yang mencipta sains, sebab itu ia mesti disokong seperti aktiviti-aktiviti umum bukan hanya aktiviti golongan atasan.




  1. Barat : Kebebasan penuh – kesemua usaha untuk mengawal penyelidikan sains perlu ditentang


    Islam : Pengurusan sains – Sains merupakan satu sumber yang tidak ternilai harganya. Oleh itu janganlah disia-siakan dan membiarkannya membawa kejahatan dan keburukan secara langsung, ia mesti diurus dan dirancang dengan teliti serta haruslah dijadikan sebagai subjek etika dan moral.



15.

Barat : Matlamat menghalalkan cara; disebabkan penyelidikan sains itu merupakan sesuatu yang baik dan penting untuk kesejahteraan manusia, semua kaedahnya termasuk penggunaan haiwan hidup, manusia dan janin bayi dibenarkan.


Islam
:
Matlamat tidak menghalalkan cara; tidak ada keistimewaan di antara matlamat dan kaedah sains. Kedua-duanya seharusnya halal dan mesti di dalam batas-batas etika dan akhlak

0

FAHAMAN ISLAM LIBERAL

Fahaman Liberalisme adalah sebuah fahaman yang sebenarnya berkembang di Barat dan memiliki prinsip, teori dan pandangan hidup yang berbeza dengan ajaran Islam yang sebenar. Dalam salah satu tesis yang bertajuk “Pemikiran Politik Barat” hasil tulisan Ahmad Suhelani, telah menjelaskan bahawa fahaman Liberalisme terdiri daripada beberapa prinsip-prinsip pemikiran yang tersendiri. Antaranya adalah seperti prinsip kebebasan individual, Prinsip kontrak social dan sebagainya.

Berdasarkan dalam laman web Jaringan Islam Liberal (JIL) golongan ini telah menafsirkan diri mereka:

“Nama ‘Islam Liberal’ menggambarkan prinsip-prinsip yang kami anut, iaitu Islam yang menekankan kebebasan peribadi dan pembebasan dari struktur sosial-politik yang menindas. ‘Liberal’ di sini bermakna dua: kebebasan dan pembebasan. Kami percaya bahawa Islam selalu dilekati kata sifat, sebab pada kenyataannya Islam ditafsirkan secara berbeza-beza sesuai dengan keperluan penafsirnya. Kami memilih satu jenis tafsir, dan dengan demikian satu kata sifat terhadap Islam, iaitu ‘liberal’.

Daripada ini dapat ditafsirkan bahawa aliran Islam Liberal ini seperti menyandarkan diri kepada Islam, namun masa yang sama tidak mahu terikat dengan prinsip-prinsip Islam, atau bebas dari kekangan aqidah, ibadah, muamalat dan akhlak Islam.

Aliran ini seakan-akan menganggap Islam yang terkandung nas-nas al-Quran dan as-Sunnah adalah Islam terbelenggu, terikat dan tidak bebas. Maka mereka cuba membebaskan Islam dari sebarang keterikatan terhadap nas-nas syarak yang telah disepakati oleh para ulama’ muktabar.

0

SEKULAR...?PERANCANGANNYA...

Sekular atau dalam bahasa Arabnya dipanggil "al-'Ilmaniyyah" diambil dari perkataan ilmu (dalam bahasa Arab = 'ain, lam dan mim). Kononnya dari segi mafhum, ia bermaksud mengangkat martabat ilmu, jadi ia tidak bercanggah dengan mafhum Islam yang juga menjadikan ilmu sebagai satu perkara penting bagi manusia dan menyeru kepada ilmu sejak wahyu pertama lagi TETAPI sebenarnya penterjemahan kalimah sekular kepada "al-'Ilmaniyyah" hanyalah satu tipu daya dan berselindung di sebalik slogan ilmu. Sebenarnya kalau diperhatikan makna tersirat bagi sekular ialah "al-Ladiniyyah" yakni tanpa agama atau "al-La'aqidah" yakni tanpa akidah. Tokoh pemikir Islam Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi pernah menyebut perkara ini di dalam penulisannya tentang sekularisme.

Istilah "al-'Ilmaniyyah" dipilih untuk mengabui mata umat Islam agar menerimanya kerana jika digunakan istilah "al-Ladiniyyah" atau "al-La'aqidah", sudah pasti umat Islam akan menolaknya. Sebab itulah kita merasakan betapa jahatnya penterjemahan sekular kepada istilah "al-'Ilmaniyyah" dengan tujuan mengabui mata dan betapa jahatnya golongan ini yang ingin menutup perbuatan mereka tanpa diketahui oleh kebanyakan orang. Bagi anak didik sistem sekular, mereka tidak segan silu menerima dan bermati-matian mendokongnya kerana mereka memang telah diprogramkan untuk menyebarkan fahaman sekularisme. Namun bagi ulama-ulama Islam yang faham hakikat sebenar makna Islam, mereka bermati-matian pula menentang penyebaran fahaman ini yang jelas bertentangan dengan hakikat Islam. Jadi sudah tentu berlaku satu pertembungan antara pendokong sekularisme dan ulama-ulama Islam dalam mempertahankan "hakikat" masing-masing.

(SEKULARISME ANTARA TIMUR DAN BARAT)

Tidak menghairankan jika fahaman sekularisme mendapat tempat di barat. Ini berpunca dari pengongkongan gereja dan tindakannya menyekat pintu pemikiran dan penemuan sains. Ia bertindak ganas lagi dengan menguasai akal dan hati manusia, dengan erti kata lain segala keputusan adalah di tangan pihak gereja dengan mengambil kesempatan mengaut keuntungan dari pengikutnya dengan cara yang salah.

Eropah pernah tenggelam dengan darah mangsa-mangsa pihak gereja apabila ratusan malah ribuan orang mati di dalam penjara dan di tali gantung. Dengan sebab ini berlakulah pertembungan antara gereja dan sains yang akhirnya tertegaklah fahaman sekularisme yang bererti "memisahkan agama (kristian) dari negara". Suasana kacau bilau dalam agama kritian hasil penyelewengan yang berlaku dalamnya (-ia berpunca dari perancangan yahudi-) memungkinkan tertegaknya fahaman sekularisme di samping agama kristian yang sedia ada. Sekularisme disebarkan untuk keluar dari kepompong gereja yang begitu teruk mengongkong pengikutnya. Masyarakat Eropah tertekan dan dizalimi di bawah pemerintahan gereja. Bagi pejuang sekular, mereka menganggap dengan berada di bawah kuasa gereja mereka tidak akan mencapai kemajuan. Sebab itulah mereka memutuskan tali ikatan diri mereka dengan gereja dan menjadi orang yang beragama kristian hanya pada nama tidak pada pengamalan agama.

Sekularisme adalah suatu kepercayaan atau fahaman yang menganggap bahawa urusan keagamaan atau ketuhanan atau gereja tidak harus dicampurkan dengan urusan negara, politik dan pentadbiran. Ringkasnya sekularisme adalah satu fahaman yang memisahkan antara urusan agama dan kehidupan dunia seperti politik, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Yang jelas menurut faham sekular, soal bernegara, berpolitik, berekonomi dan sebagainya tidak ada kaitan dengan soal agama atau gereja.

Apabila fahaman sekularisme ingin dipindakan dari barat ke timur, golongan ini tidak menyedari (secara sengaja atau tidak) suasana di timur yang berpegang kuat dengan agama Islam. Sudah pasti ia tidak sekali-kali merelakan pemisahan agama (Islam) dari negara. Keadaan dalam Islam tidak sama dengan apa yang terjadi dalam kristian di mana sepanjang sejarah Islam tidak ada penzaliman terhadap penganutnya. Begitu juga Islam tidak membenarkan pemisahan agama (Islam) dari negara kerana negara mengikut fiqh Islam ialah sebahagian dari agama bukannya satu perkara yang berasingan. Dalam Islam, tidak mungkin tertegaknya agama (dengan sempurna) tanpa negara (yang boleh menguatkuasakan undang-undang agama) dan tidak mungkin tertegaknya negara (tanpa kacau bilau) jika tidak ada agama (yang boleh memandunya).

Al-Syahid Hasan al-Banna dalam "Majmu'ah Rasa'il" menegaskan bahawa Islam merupakan sistem sempurna yang merangkumi urusan kehidupan manusia semuanya. Ia merangkumi negara, kerajaan, rakyat, akidah, syariat, akhlak, ekonomi, keadilan, undang-undang, ilmu, jihad, dakwah, tentera dan lain-lain. Pendek kata tidak ada perkara yang dibiarkan melainkan Islam merangkuminya. Al-Quran sendiri telah menggariskan beberapa dasar umum untuk umat Islam dalam memandu kehidupan mereka. Sebagai contoh dalam bidang akidah (lihat surah Al-Imran ayat 19), bidang ibadat (lihat surah Al-Baqarah ayat 43), bidang sosial (lihat surah Al-Baqarah ayat 188), bidang politik (lihat surah Saba' ayat 15), bidang undang-undang perlembagaan (lihat surah Al-Nisa' ayat 59) dan juga bidang-bidang yang lain.

Islam tidak sekali-kali membenarkan penyebaran fahaman sekularisme di sampingnya dengan membahagikan tugas antara keduanya iaitu, Islam hanya berfungsi di dalam urusan akidah dan sekularisme pula berfungsi di dalam urusan syariat. Perkara ini tidak mungkin terjadi kerana Islam merupakan satu agama yang terkandung di dalamnya akidah dan syariat sekaligus dan ia tidak membenarkan pemisahan ini dilakukan seperti mana Islam tidak membenarkan tuhan-tuhan lain ditaati dalam bidang syariah seperti ditaatinya Allah dalam bidang akidah. Allah telah menegaskan dalam al-Quran bahawa agama yang diredhainya hanyalah Islam yang suci. FirmanNya yang bermaksud, "Sesungguhnya al-Din (agama) yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam", surah Al-Imran
ayat 19.

Jadi untuk menyamakan Islam dengan agama kristian dan percubaan memasukkan fahaman sekular ke dalam Islam adalah satu kesilapan dan jenayah yang besar. Islam tidak seperti kristian kerana Islam datang dari Pencipta manusia iaitu Allah s.w.t, ia selamat dari cacat cela. Kristian pada asalnya agama tauhid tetapi telah diselewengkan oleh paderi-paderi untuk kepentingan mereka. Sekularisme bukan berasal dari Islam dan Islam berlepas tangan dari fahaman kufur ini dan tidak ada kena mengena dengannya. Sesiapa sahaja daripada umat Islam yang mengagungkan sekularisme iaitu dengan menganggap untuk maju tidak perlu beramal dengan Islam maka boleh membahayakan akidahnya.

Sekularisme bukan hanya sekadar berpandangan politik suku agama suku tetapi dengan menyempitkan ruang lingkup agama, itu juga termasuk dalam sekularisme seperti beramal dengan Islam secara separuh. Apa yang memberi keuntungan dan kemudahan diterima pakai manakala yang mendatangkan kesusahan ditolak tepi.

Sebab itulah perbuatan ini ditempelak oleh Allah melalui firmanNya surah al-Baqarah ayat 85, maksudnya : "adakah kamu percaya (beriman) kepada sebahagian kandungan Kitab (al-Quran) dan ingkar akan sebahagiannya? Sebaliknya Allah memerintahkan agar menerima Islam secara keseluruhannya melalui firmanNya surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud, "wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam keseluruhannya".

(CARA-CARA PENYEBARAN SEKULARISME)

Semenjak penjajah barat meletakkan kaki mereka ke bumi umat Islam, mereka berusaha sedaya upaya untuk menyebarkan fahaman sekularisme ini melalui pelbagai cara. Dengan keupayaan ilmu dan teknologi yang dimiliki serta pengalaman, mereka berjaya melaksanakannya. Cara-cara penyebaran fahaman sekularisme ini dilaksanakan melalui bidang pendidikan, media massa dan undang-undang. Tujuannya hanyalah untuk menjauhkan umat Islam dari agamanya.

(PENYEBARAN SEKULARISME MELALUI PENDIDIKAN)

Antaranya ialah :

1. Menyekat pengajian agama Islam secara material dan moral.

i. Sekatan secara material dilakukan dengan membuka pintu seluas mungkin kepada pengajian yang kosong dari ruh agama Islam (pengajian yang jauh dari penekanan agama). Pengajian sebegini akan dibantu dan dibangunkan serta diberi kemudahan dari segi material. Adapun pengajian agama Islam disempitkan bantuan kewangan ataupun tidak dibantu lansung. Sebarang bantuan lebih dicurahkan kepada pengajian sekularisme.

ii. Sekatan secara moral ialah dengan memperlekehkan golongan penuntut agama dan tuan-tuan guru mereka. Membeza-bezakan antara guru-guru agama dan guru-guru subjek lain dalam setiap keadaan memang satu perkara yang disengajakan. Begitu juga membeza-bezakan antara lepasan bidang agama dan lepasan bidang-bidang lain. Dari segi jawatan pula, lepasan bidang agama tidak banyak mendapat peluang disamping ganjaran dan status yang dipandang rendah tetapi bagi lepasan bidang-bidang lain agak mudah mendapat peluang dengan habuan dan status yang lumayan. Mereka ini akan tenggelam dalam "ketidaksedaran" dan akan menyebabkan orang ramai tidak kira tua muda akan lari dari agama dengan terpahat satu sikap dalam minda mereka iaitu "jika kita memilih bidang agama ianya tidak akan ke mana dan tidak akan menjamin hidup", maka dengan itu mereka lebih cenderung kepada pengajian bidang bukan agama.

Bukanlah bermaksud di sini umat Islam tidak boleh mempelajari ilmu-ilmu selain dari ilmu Islam. Malah sebenarnya tidak ada istilah ilmu "bukan Islam", seperti kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya. Ia juga merupakan ilmu Islam. Yang menjadi persoalannya ialah umat Islam telah diabaikan dari segi penekanan ilmu agama yang sepatutnya menjadi teras kepada mereka. Tidak salah seorang muslim itu menjadi doktor, tetapi biarlah dia menjadi doktor yang ada asas didikan Islam. Juga tidak salah seorang muslim itu menjadi jurutera, tetapi biarlah menjadi jurutera yang ada asas didikan Islam.

2. Menghantar pelajar Islam ke negara-negara bukan Islam untuk belajar. Misi penghantaran ini akan membuahkan hasilnya yang memang dinanti-nantikan iaitu pelajar itu bertambah jahil dengan agama, nilai serta adat yang baik dan akan menyebabkan pelajar itu tertarik dengan budaya barat. Di samping itu, akan tertanam dalam diri pelajar itu tabiat (kelakuan) yang menyeleweng dari ajaran Islam. Dengan berlalunya masa, tabiat menyeleweng ini akan menjadi sebati dengan diri pelajar itu dan dia akan mempraktikkannya dalam kehidupannya sehinggakan dalam bab makan minum, pakaian, cara pergaulan dan lain-lain tabiat yang buruk. Dia akan menjadi lebih barat daripada orang-orang barat sendiri.

3. Melonggarkan sukatan pengajian agama atas nama kemajuan akademik. Residen Britain di Mesir Lord Krumer semasa penjajahan Britain ke atas Mesir telah melaung-laungkan slogan pembaharuan dalam Universiti al-Azhar dengan memasukkan subjek sivil dalam sukatan pengajiannya. Percampuran ini menyebabkan pelajar lemah dalam menguasai ilmu agama. Beberapa sukatan pelajaran juga telah dibuang atau dikurangkan seperti subjek yang berkaitan jihad menyebabkan ruh jihad telah hilang dalam diri pelajar Islam. Pelonggaran sukatan pengajian agama berlaku di seluruh negara Islam dengan tujuan untuk melemahkan pelajar-pelajar Islam.

4. Bercambahnya institusi pengajian asing di negara Islam bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Tujuannya ialah untuk mengeluarkan umat Islam dari agama mereka atau sekurang-kurangnya menyelewengkan akidah mereka. Paling kurang kesannya ialah menghina bahasa Arab (bahasa umat Islam) dan mengagungkan bahasa asing. Penghinaan bahasa Arab sebenarnya menghinakan agama Islam itu sendiri. Ini berlaku di negara-negara Arab.

5. Paling bahaya cara yang digunakan ialah percampuran lelaki dan perempuan ketika pengajian. Mereka (golongan sekular) memulakannya di negara-negara Islam dengan mendakwa ianya kemajuan dan kemodenan tetapi ia sebenarnya menyalakan lagi obor nafsu manusia. Mereka juga mendakwa percampuran itu dapat mematangkan pemikiran tetapi mereka telah tersilap kerana ia antara punca tercetusnya masalah sosial yang kronik akibat percampuran yang tidak dikawal. Ilmu sains membuktikan percampuran sebegini akan membawa kepada 2 keadaan :

i. Samada ia akan membekukan nafsu seks antara 2 jantina, dengan erti kata lain, lelaki tidak lagi bernafsu kepada wanita secara tabii tetapi lebih bernafsu kepada kaum sejenis (satu perbuatan yang dikutuk oleh Allah s.w.t). Penyakit ini semakin menular di negara-negara barat dan juga Amerika Syarikat.

ii. Ataupun ia akan meransangkan lagi api nafsu. Satu eksperimen telah dijalankan dengan meletakkan anak kucing dan anak tikus yang masih kecil dalam satu sangkar. Kedua-duanya makan dan minum dari satu bekas yang sama sehinggalah sampai masa "keinginan", anak kucing itu telah membunuh anak tikus dan memakannnya walapun kedua-duanya hidup dalam satu sangkar serta makan dan minum dari bekas yang sama. Anak kucing itu tidak lagi menaruh sifat kasihan walaupun agak lama "berdamping" dengan anak tikus itu. Begitulah diibaratkan dengan percampuran pelajar dengan sebebas-bebasnya tanpa kawalan, lama kelamaan akan membawa ke arah masalah sosial. Realiti yang berlaku di negara-negara Islam adalah bukti yang nyata betapa teruknya masalah sosial yang berlaku.

(PENYEBARAN SEKULARISME MELALUI MEDIA MASSA)

Jikalau sekularisasi dalam pengajian hanya melibatkan ribuan pelajar, tetapi sekularisasi dalam media massa meliputi jutaan orang yang menonton, mendengar dan membacanya melalui program-program yang disediakan. Setiap perkataan atau tulisan yang baik akan menghasilkan natijah yang baik dengan izin Allah. Manakala perkataan atau tulisan yang jahat pula akan menghasilkan natijah yang jahat juga. Oleh itu media massa boleh berperanan untuk mengangkat martabat, peribadi, maruah dan minda seseorang atau ia juga boleh berperanan untuk menjatuhkan martabat, peribadi, maruah dan minda seseorang.

Realiti yang dapat dilihat melalui televisyen, radio, wayang gambar, teater, akhbar, majalah dan lain-lain media massa tidak banyak yang membantu perkembangan nilai-nilai murni. Ia juga tidak membantu perkembangan minda dan pengamalan dengan akhlak Islam. Jikalau adapun, ia hanya seperti tangkap muat dan pemanis mulut, tidak lebih dari itu. Rancangan-rancangan televisyen yang menyiarkan gambar separuh bogel atau "tidak sempat memakai baju dan seluar" banyak disiarkan untuk meruntuhkan akhlak umat Islam terutamanya golongan muda mudi. Sepatutnya media massa itu menjadi "mimbar dakwah" yang menyeru kepada kebaikan dan menyampaikan kebenaran, bukannya suara maksiat, medan fitnah dan kilang kerosakan sosial masyarakat. Itulah kerja sekularisme yang berusaha menjauhkan umat Islam dari agamanya.

(PENYEBARAN SEKULARISME MELALUI UNDANG-UNDANG)

Golongan sekular berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhkan Islam dari "kuasa" pemerintahan. Mereka akan memastikan agar undang-undang Islam tidak dirujuk walau dalam apahal sekalipun sehinggakan Islam kelihatan tinggal rangkanya sahaja. Ia terjadi di kebanyakan negara Islam. Di Turki contohnya, untuk menjauhkan manusia dari Islam, mereka berusaha mensekularkan undang-undang sedikit demi sedikit hingga akhirnya undang-undang Turki menjadi sekular dan terlerainya undang-undang khilafah Islam. Di Mesir "pengsekularan" undang-undang dilakukan ketika penjajahan Inggeris dengan mewajibkan merujuk kepada undang-undang barat secara umumnya dan undang-undang Perancis secara khususnya.

Undang-undang Islam yang tinggal hanyalah berkaitan nikah kawin (ahwal al-Syakhsiah) atau yang berkait dengan adat kerana ia tidak menggugat kedudukan penjajah. Umat Islam boleh mengamalkan undang-undang ini di kalangan mereka tetapi untuk mengamalkan undang-undang yang bersangkut paut dengan pemerintahan negara, jenayah dan lain-lain tidak diizinkan oleh penjajah. Ini adalah perancangan jahat golongan sekular. Mana-mana negara Islam yang ingin melaksanakan undang-undang Islam secara menyeluruh pasti akan menerima tekanan hebat dari pihak barat atau dari golongan sekular dalam negara itu sendiri.

Ini adalah sebahagian perancangan yang dilakukan oleh golongan sekular untuk memesongkan umat Islam dari beramal dengan agamanya mengikut jalan yang betul. Sesiapa yang hatinya kosong dari ruh agama pasti menganggap sekular itu adalah kemajuan dan kemodenan tetapi dia tidak sedar bahawa ketika dia menerima dan mendokong sekularisme, dia telah merenggangkan ikatan tali dirinya dengan Islam yang dianutinya. Umat Islam perlulah sedar perancangan-perancangan golongan sekular ini agar mereka tidak terjatuh ke dalam perangkap yang akan merugikan mereka di dunia dan akhirat.

Islam dan sekularisme tidak akan dapat disatu dan disebatikan kerana kedua-duanya adalah berbeza. Al-Marhum Syeikh Mutawalli Sya'rawi sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir sempat berkata :
"sedarlah bahawa tidak akan berlaku pertembungan antara hak dengan hak tetapi pertembungan hanya berlaku antara hak dan yang batil". Maka umat islam perlulah mengikut yang hak (kebenaran) dengan menurut segala perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala laranganNya. Untuk mengetahui yang hak dan yang batil menurut pandangan syarak, maka tugas itu biarlah dilakukan oleh ulama-ulama yang pakar lagi ikhlas. Tidak ada jalan selamat di akhirat melainkan menerima seratus peratus ajaran Islam yang sebenarnya mengikut al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.


(P/S : artikel ini dipetik dan diubah suai dari buku "Mauqif al-Islam Min al-Tayyarat Wa al-Mazahib al-Mu'asharah" karangan Prof. Dr. Taha Abd al-Salam Khudhair dan Prof. Dr. Hasan Muharram al-Sayyid al-Huwaini, Pensyarah Jabatan Akidah Dan Falsafah, Kuliah Usuluddin Universiti al-Azhar Mesir).